“Saya seperti dilupakan” – Johan As’ari rasa terpinggir kerana kurang publisiti, terpaksa ikut trend semasa bagi promosi diri

KURANG mendapat perhatian dan tidak banyak liputan mengenai dirinya di media-media utama, pelakon Johan As’ari pernah merasakan dirinya seperti tidak diambil peduli.

Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari, 35, bagaimanapun berkata dia tenang berdepan situasi itu dan mengakui sebelum ini tumpuan lebih diberikan terhadap kisah peribadi berbanding kerjaya.

Dalam masa sama, Johan turut mengakui ia berpunca kelemahan dirinya tidak pandai mempromosikan diri supaya mendapat perhatian.

johan 2

Johan dalam filem terbaharu berjudul Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

“Bukanlah merajuk, cuma sebelum ini ada sahaja drama saya ditayangkan di kaca televisyen tetapi seakan tidak diambil peduli. Mungkin saya lemah untuk promosikan diri di sosial media.

“Saya rasa selama ini saya ‘disepikan’ kerana kurang mendapat liputan. Bagaimanapun saya masih gembira dan bekerja seperti biasa.

“Saya ada pelbagai akaun sosial media dan berusaha mengikut trend semasa supaya tidak ketinggalan,” katanya kepada mStar.

Mahu lebih menonjol dalam cerita kerjaya, Johan juga mengambil langkah berdiam daripada terus berkongsi kisah peribadi termasuk perancangan mendirikan rumah tangga seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.

Menurut Johan, dia akan berkongsi perkara tersebut apabila sudah tiba masa yang sesuai.

“Sebelum ini ramai yang mengikuti kisah peribadi saya, tetapi sekarang tidak lagi. Rasa seperti saya dilupakan.

“Sekarang ini lebih baik saya berdiam sahaja. Saya akan berkongsi kisah peribadi apabila tiba waktu yang sesuai nanti,” ujarnya.

Bercakap tentang perkembangan kerjaya, Johan bakal tampil dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang akan memulakan tayangan pada 23 Jun ini.

Demi menjayakan watak Yassin dalam filem arahan Syamsul Yusof ini, Johan sanggup menolak banyak tawaran drama semata-mata menjaga imej seperti yang dimahukan.

johan 1

Barisan pelakon utama Mat Kilau.

“Saya amat gembira dan bangga apabila mendapat tawaran berlakon di bawah arahan Syamsul.

“Saya sanggup tidak mengambil tawaran berlakon lain sepanjang penggambaran filem ini kerana mahu kekalkan rambut panjang. Memang banyak tawaran yang saya tolak,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

Sumber : https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2022/06/22/saya-seperti-dilupakan—johan-asari-rasa-terpinggir-kerana-kurang-publisiti-terpaksa-ikut-trend-semasa-bagi-promosi-diri

Leave a Comment